LIPUTAN MEDIA

Urutan insan 'istimewa' semakin mendapat tempat

 

IPOH 4 Jun - Perkhidmatan urut semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat pada masa ini dengan meningkatnya tahap kesedaran menjaga kesihatan badan.

Justeru, tidak hairanlah, rawatan tradisional itu dikomersialkan sehingga rumah-rumah urut tumbuh bagai cendawan selain hotel-hotel terkemuka turut menawarkan perkhidmatan itu.

Melihat kepada potensi yang ada, Koperasi Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan Perak Berhad turut tidak ketinggalan membuka pusat perkhidmatan urutnya sendiri di wisma koperasi itu di Taman Ipoh Jaya, Timur 1, dekat Ampang, di sini.

Berbeza dengan kebanyakan rumah urut lain yang menggunakan gadis-gadis jelita sebagai tukang urut, pusat perkhidmatan urut milik Koperasi OKU Penglihatan Perak Berhad menawarkan tukang-tukang urut yang kaya dengan pengalaman.

Dan pastinya, semua tukang urut berkenaan terdiri daripada golongan cacat penglihatan.

Walaupun pusat perkhidmatan urut orang buta tidak asing di negara ini terutamanya di Kuala Lumpur tetapi ia merupakan yang pertama di Perak.

Pengerusinya, Ahmad Nizar Yeob Ahmad, 59, berkata, pusat perkhidmatan urut itu mula dibuka pada awal bulan lepas dengan modal permulaan sebanyak RM60,000 untuk membina bilik rawatan serta membeli alat-alat kelengkapan lain.

''Buat masa ini, kita ada tiga orang tukang urut tetap termasuk saya sendiri dan seorang tukang urut sambilan yang semuanya mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang ini.

''Seorang lagi tukang urut wanita akan mula bertugas mulai minggu depan," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Pusat perkhidmatan urut milik Koperasi OKU Penglihatan Perak Berhad itu menyediakan tiga bilik rawatan, dua kerusi urut refleksologi dan ruang menunggu untuk pelanggan.

Selain Ahmad Nizar, dua lagi tukang urut cacat penglihatan di pusat itu ialah Abd. Majid Abd. Rashid dan Mohd. Nor Ali. Kedua-duanya mengadakan rawatan urut di rumah sendiri sebelum ini.

Menurut Ahmad Nizar, beliau pernah membuka pusat urut sendiri di Damansara Utama di ibu kota sebelum berhijrah ke sini pada tahun 1992.

''Saya melihat Perak mempunyai ramai golongan OKU yang berkemahiran tetapi berhijrah ke tempat lain kerana kurang peluang pekerjaan di negeri ini.

''Melihat keadaan ini, koperasi membuka pusat perkhidmatan ini untuk membantu ekonomi golongan OKU cacat penglihatan," katanya.

Beliau berkata, pembukaan pusat perkhidmatan urut itu juga membuktikan golongan OKU mampu berdikari seperti golongan normal.

''Sebab itu, kita buat pusat perkhidmatan ini dengan sebaik-baiknya kerana ia memberikan imej kepada golongan OKU dan kita tidak mahu orang luar memandang rendah terhadap kita," ujarnya.

Ahmad Nizar berkata, sekiranya pusat perkhidmatan itu berkembang maju, pihak koperasi merancang untuk mewujudkan pusat sauna dan gimnasium pula bagi membolehkan 70 ahlinya terlibat dalam perniagaan.
Pusat perkhidmatan urut itu merupakan projek permulaan Koperasi OKU Penglihatan Perak Berhad yang baru ditubuhkan Disember tahun lepas.

Koperasi itu mempunyai rancangan lebih besar untuk melibatkan ahli-ahlinya dalam industri pertanian dan perumahan pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang pelanggan pusat urut itu, Abu Hassan Hussin, 66, berkata, perkhidmatan urut di situ sangat memuaskan sehingga dia dan isterinya menjadi pelanggan setia.

''Biasanya saya dan isteri akan datang ke sini apabila ada masalah kesihatan dan alhamdulillah, saya rasa lega lepas berurut," katanya.

Isterinya, Mariam Kassim, 58, pula berkata, tukang urut di pusat urut itu sangat mahir dan boleh mengetahui penyakit yang dihadapi seseorang hanya dengan menekan urat kaki dan tangan.

Pusat perkhidmatan urut orang buta itu menawarkan pakej urut seluruh badan pada harga RM40 sejam, setengah jam (RM25) dan RM15 untuk urut bahagian badan tertentu.

Mereka yang berminat untuk membuat temu janji boleh menghubungi Ahmad Nizar di talian 012-5251190 atau pergi terus ke Wisma OKU Penglihatan Perak Berhad di No. 87A, Jalan Wira Jaya, Taman Ipoh Jaya Timur 1.

Berita ini dipetik dari Utusan Online